Pasaran Royal Selangor Naik 20% / Korporat
By Daliza Ariffin
( ARTICLE IN BAHASA MALAYSIA )


KUALA LUMPUR 2 Sept. – Royal Selangor Marketing Sdn. Bhd. (Royal Selangor), pengeluar pelbagai barangan hiasan, perkakasan rumah dan cenderahati berasaskan pewter mengunjurkan pasaran eksportnya meningkat sebanyak 20 peratus pada tahun ini.

Pengurus Besarnya, Chen Tien Yue berkata, peningkatan itu akan disumbangkan oleh pertambahan pasaran eksportnya yang kini menguasai lebih daripada 20 buah negara serta destinasi terbarunya ke Asia Barat.

Menurut beliau, antara faktor penyumbang pertambahan pasaran tersebut adalah daripada koleksi terbarunya yang turut menyelitkan unsur-unsur seni Arab dan Islam dalam produk-produknya.

‘‘Ia adalah salah satu produk dalam Koleksi Royal Selangor untuk musim luruh bagi tahun 2007 yang kami mula perkenalkan akhir bulan ini dan salah satunya ialah Arabesque yang merupakan hasil kerjasama kami dengan Muzium Kesenian Islam Malaysia.

‘‘Kami yakin produk-produk itu akan dapat menarik minat pelancong dari negara Arab untuk mendapatkannya,’’ katanya kepada Utusan Malaysia, selepas majlis melancarkan koleksi terbaru Musim Luruh 2007, di sini baru-baru ini.

Tien Yue memberitahu, Royal Selangor terkenal dengan lapan kategori produk dan antaranya ialah perkakasan rumah, set minuman, aksesori peribadi, perhiasan wanita dan perhiasan meja.

‘‘Kategori perkakasan rumah dan perhiasan meja telah menyumbang sebanyak 30 peratus kepada perolehan syarikat dan ia adalah antara kategori popular di kalangan pelanggan kami,’’ jelasnya lagi.

Tambah beliau, produk Royal Selangor kebanyakannya dibeli untuk tujuan pemberian hadiah peribadi dan korporat, koleksi peribadi dan koleksi pelancongan.

Mengenai koleksi Musim Luruh 2007 itu, Tien Yue menjelaskan ia terbahagi kepada tujuh koleksi iaitu New Asia, Arabesque, Isthmus Home dan Ku, Palladio, Himalaya dan Plus.

New Asia merupakan koleksi menawan yang menerima sentuhan daripada pakar pereka dalaman terkenal, Eric Leong yang diilhamkan daripada bunga teratai.

Arabesque pula menawarkan pelbagai koleksi yang memiliki simetri, seni khat dan keindahan seni Islam dalam rekaan seperti bekas pad memo, pemegang kad serta perhiasan rumah seperti alas, gelas, bekas lilin dan bekas rempah.

Menurut beliau, Isthmus Home adalah hasil koleksi gabungan gaya barat dan timur yang mewah untuk produk-produk seperti gelas, piring leper, bekas air, mangkuk, dulang, pasu bunga, kaki lilin dan kotak barangan perhiasan.

Koleksi Ku pula diperkenalkan bersempena dengan sambutan 50 tahun kemerdekaan yang mana produk-produknya memiliki inspirasi daripada pelbagai budaya Malaysia dan motif tradisional seperti batik, wau dan wayang kulit.

Ku terdiri daripada barangan seperti bingkai gambar, piring, pemegang kad dan bekas pen.

Tien Yue berkata, koleksi Palladio memiliki kemasan antik yang dihasilkan untuk produk-produknya daripada kategori perhiasan rumah dan meja makan seperti kaki lilin, pinggan dan gelas wain.

Selain itu, koleksi Himalaya pula menawarkan himpunan produk ringkas tetapi memiliki keindahan berupa corak tajam dan ia sesuai untuk koleksi peralatan minuman.

Koleksi perhiasan Plus pula merupakan himpunan 12 rekaan baru yang memiliki ciri-ciri geometri dan gaya disko era tahun 70-an.

Article @ Utusan Online ... September 2nd, 2007